PASIR MAS : Bumi Indah Budaya Menawan

Posted by : Bicara Pasir Mas | 01 February 2010 | Published in



 Kelantan merupakan salah sebuah negeri daripada 13 negeri yang terdapat di dalam Malaysia. Kelantan terletak di Timur Laut Semenanjung Malaysia. Lokasi Kelantan adalah bersempadan dengan empat wilayah iaitu Thailand (Pattani) di timur laut, Perak (Hulu Perak) di barat, Pahang (Kuala Lipis) di selatan dan Terengganu (barat) di timur atau tenggara. Negeri Kelantan mempunyai keluasan sebanyak 1,492,200 hektar.

Jajahan Pasir Mas merupakan salah sebuah daerah daripada 10 jajahan yang terdapat dalam Negeri Kelantan. Ianya terdapat bersempadanan dengan Jajahan Kota Bharu di sebelah timurnya dan Jajahan Tumpat di sebelah Utaranya. Ia juga bersempadan dengan Negara Thailand di sebelah Barat dan di sebelah Selatan bersempadan dengan Jajahan Tanah Merah. Seluas 3.9 Peratus keluasan Negeri Kelantan adalah keluasan Jajahan Pasir Mas atau 57,800 hektar.

Sebelum Jajahan Pasir Mas diwujudkan ia merupakan sebahagian daripada Jajahan Kota Bharu. Walau bagaimanapun, setelah dipersetujui bersama, Jajahan Pasir Mas telah diasingkan pada tahun 1918 dan diletakkan dibawah pentadbiran sendiri di bawah Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas. Pada waktu itu Ketua Jajahan Pasir Mas yang pertama telah di sandang oleh Encik Jaafar yang memegang jawatan selama satu tahun. 

Hampir 85 peratus daripada keluasan Jajahan Pasir Mas adalah terdiri daripada kawasan tanah rata. 15 peratus daripada Jajahan Pasir Mas adalah rendah dan berpaya.

pemandangan ini perkara biasa di Pasir Mas

Hampir keseluruhan Jajahan Pasir Mas yang seluas 577.52 KM persegi ini sudah diterokai dan di diami oleh penduduk.

Kebanyakkan tanah di Jajahan Pasir Mas adalah di tanam dengan jenis tanaman Pertanian seperti padi, getah dusun, sayur-sayuran dan sebagainya.

Jajahan Pasir Mas meliputi kawasan seluas 577.52 km persegi. Manakala seluas 139 km persegi terletak di dalam kawasan Majlis Daerah Pasir Mas. Kawasan di luar Penguasa Tempatan ialah seluas 438.52 km persegi. 

Daerah Pasir Mas dan Daerah Rantau Panjang adalah dua kawasan yang menjadi tumpuan utama penempatan penduduk di Jajahan Pasir Mas. Dua kawasan ini menjadi tumpuan kerana ianya merupakan pusat perniagaan di mana terdapatnya pejabat-pejabat Kerajaan, Swasta dan juga pelbagai kemudahan-kemudahan lain di sekitarnya. Manakala penempatan di daerah-daerah lain kebanyakkannya bertaburan berdasarkan kepada faktor-faktor ekonomi dan sosial yang terdapat di kawasan tersebut.

Merujuk kepada bancian anggaran 2007 (Sumber:Jabatan Perangkaan Negeri Kelantan), jumlah penduduk di Jajahan Pasir Mas adalah seramai 197,100 orang berbanding pada tahun 2006 iaitu seramai 193,400 orang. Jajahan Pasir Mas merupakan Jajahan kedua yang mempunyai penduduk paling ramai selepas Jajahan Kota Bharu.

Sumber : Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas

(0) Comments

Leave a Response

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...